Hong Leong Bank Membantu Perusahaan Sosial SURI dengan Perolehan Sosial bagi Membantu Ibu Tunggal Pembuat PPE untuk Petugas Kesihatan Barisan Hadapan
Hong Leong Bank Membantu Perusahaan Sosial SURI dengan Perolehan Sosial bagi Membantu Ibu Tunggal Pembuat PPE untuk Petugas Kesihatan Barisan Hadapan
HLB komited teruskan usaha impak sosial semasa COVID-19 untuk meningkatkan dan memperkasakan komuniti yang memerlukan

Kuala Lumpur, 19 Mei 2020
Wabak COVID-19 memberi kesan buruk kepada hampir setiap individu dan perniagaan tempatan. Bagi membantu perniagaan kecil seperti perusahaan sosial mendukung misi sosial mereka semasa tempoh pandemic dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, Hong Leong Bank (“HLB" atau "Bank") akan membantu SURI lifestyle (SURI), perusahaan sosial kitar semula tambah nilai (upcycle) denim, dalam perolehan sosial bagi menghasilkan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk petugas kesihatan barisan hadapan di hospital Klang. HLB akan mensubsidi kos tenaga kerja untuk membolehkan SURI meneruskan penjanaan pendapatan kepada benefisiarinya yang merangkumi ibu-ibu tunggal dari golongan kurang bernasib baik, supaya mereka dapat mengatasi kesusahan akibat pandemik.
SURI adalah alumni HLB Jumpstart, sebuah platform Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bank yang bertujuan membantu perusahaan sosial di Malaysia membangunkan perniagaan masing-masing untuk jangka panjang menerusi perluasan dan perkongsian pengetahuan kewangan, pendigitalan operasi, penjenamaan dan pemasaran, pengkomersialan produk serta kesukarelawanan.
Kebanyakan perniagaan kecil dan perusahaan social seperti SURI turut terkesan berikutan krisis COVID-19. Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ("PKP"), SURI tidak menerima sebarang pesanan baru untuk produk denim dan telah menjejaskan aliran pendapatan para ibu tunggal. Untuk kesinambungan mata pencarian ketika ini, SURI memanfaatkan kemahiran menjahit ibu-ibu tunggal dengan menghasilkan pakaian PPE untuk petugas kesihatan barisan hadapan.
Domenic Fuda, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB berkata, “Kita semua menghadapi kesukaran ketika krisis kesihatan ini. Semua perniagaan dan individu terpaksa menyesuaikan diri dengan situasi baharu atau berisiko menghentikan operasi. Perusahaan sosial seperti SURI turut dikesan berikutan model perniagaan dengan misi utama untuk memberi kembali kepada komuniti dan menjana peluang pendapatan untuk kumpulan B40 kini kehilangan sumber dengan terhentinya pemerolehan sosial oleh badan korporat. Sebagai bank komuniti, kami menganggap bantuan kepada perolehan sosial SURI dalam bentuk subsidi kos tenaga kerja sebagai peluang memperkasakan komuniti yang memerlukan dalam tempoh sukar hari ini.”
SURI merancang untuk menghasilkan 600 helai gaun, 800 helai penutup kepala dan 800 pasang but. Subsidi kos tenaga kerja daripada HLB akan digunakan untuk mengembangkan pasukan daripada tiga kepada 10 orang ibu tunggal supaya dapat meningkatkan pengeluaran PPE, mengambil kira hospital-hospital menghadapai bekalan yang berkurangan.
Zalman Zainal, Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi HLB berkata, "Kesihatan rakyat perlu dititikberatkan semasa pandemik ini. Penularan COVID-19 merupakan masa yang amat penting untuk rakyat bergabung tenaga dan saling menyokong antara satu sama lain untuk memerangi wabak ini. HLB kekal komited dalam meneruskan usaha impak sosial dengan membantu perusahaan sosial seperti SURI untuk terus beroperasi."
Sally Ahmad, Pengasas SURI berkata, "Walaupun entiti korporat bermurah hati menaja fabrik untuk menjahit PPE, kami masih kekurangan sumber untuk mengupah dan menyokong lebih banyak ibu tunggal bagi menghasilkan PPE dengan secepat mungkin memandangkan hospital-hospital mengalami bekalan yang tidak mencukupi. Kami amat bersyukur kerana bantuan HLB tiba tepat pada saat genting ini memberi kami peluang menjana pendapatan sekurang-kurangnya selama 2 bulan."
Individu atau syarikat yang ingin membantu SURI, boleh menghubungi Sally di surilifestylehq@gmail.com ataupun amerasyraf07@gmail.com serta layari akaun Instagram, @surilifestyle.
Perusahaan Sosial yang ingin mencari bantuan untuk meneruskan usaha dan perniagaan mereka boleh hubungi capr@hlbb.hongleong.com.my atau layari https://www.hlb.com.my/en/personal-banking/about-us/csr.html