Hong Leong Bank menyokong ‘Coffee For Good’ untuk mengupayakan golongan belia

Coffee For Good menyediakan latihan sambil bekerja sebagai barista untuk golongan belia B40, membuka laluan ke arah kerjaya dengan kafe dan syarikat F&B
Kuala Lumpur, 19 November 2019
Hong Leong Bank (“HLB” atau “Bank”) melalui pelantar CSR mereka, iaitu HLB Jumpstart, mengumumkan gandingan kerjasama mereka untuk membantu suatu lagi perusahaan sosial agar lebih berdaya tahan. Coffee For Good adalah sebuah perusahaan sosial pakar kopi yang diasaskan oleh Puan Faridah Halani dan Puan Dalia A Aziz. Program latihan sambil bekerja ini bermatlamat membangkitkan golongan belia daripada kumpulan B40. Program ini membekalkan para pelatih dengan selok-belok kopi dan kemahiran menyediakan minuman ini supaya mereka mudah mendapat pekerjaan di samping menempatkan mereka ke dalam kerjaya sebagai barista yang mahir.
Industri makanan dan minuman, dan khususnya budaya meminum kopi, telah menjadi segmen yang berkembang pesat di Malaysia tetapi terdapat kekurangan barista yang terlatih. Sebagai pengendali kafe tempatan yang sedang menghadapi kekurangan barista mahir yang boleh diambil sebagai pekerja, ternyatalah pada Puan Faridah bahawa beliau boleh memanfaatkan perniagaannya dan juga kemahirannya membancuh kopi, sekali gus mengupayakan golongan belia B40 untuk menyelesaikan masalah kekurangan buruh mahir yang sentiasa dihadapi oleh pemilik kafe di merata tempat.
“Perjuangan sosial kami bertumpu pada golongan belia, khususnya lepasan sekolah daripada kumpulan pendapatan B40 yang mungkin terhad peluang pekerjaannya kerana tiada kelayakan akademik dan kemahiran vokasional. Setelah diupayakan dengan kemahiran bekerja sebagai barista, misalnya, mudah-mudahan mereka beroleh batu loncatan ke arah kerjaya yang mendatangkan pendapatan yang stabil,” kata Puan Faridah.
Dengan program HLB Jumpstart ini, kempen penjenamaan dan pemasaran Coffee For Good akan mendapat pecutan agar mampu mengambil lebih ramai pelatih, terutamanya melalui media sosial, gerai kafe di beberapa pejabat Hong Leong Bank dan syarikat-syarikat gabungannya, kemudahan pembayaran tanpa wang tunai dan sesi pengetahuan kewangan bersama pakar-pakar SME Bank ini.
Encik Domenic Fuda, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB berkata, “ berbesar hati menjadi sebahagian daripada perkembangan Coffee For Good. Dedikasi mereka terhadap usaha membuka peluang untuk golongan belia ini agar dapat memperoleh pekerjaan dan mencapai kebebasan kewangan sangat terpuji. Para usahawan yang meninggalkan kesan positif terhadap komuniti melalui kerja mereka dapat menjiwai nilai-nilai teras kami dan sudah tentulah kami harus menyalurkan usaha CSR kami ke arah membantu usahawan sosial ini agar mereka berjaya, berdaya tahan dan dapat meneruskan perniagaan secara jangka panjang. Kepakaran kami sudah pun berhasil. Kami telah berjaya mengembangkan dua projek keusahawanan sosial sejak penubuhan HLB Jumpstart tahun lepas dan kami lebih bersemangat untuk meningkatkan usaha,” sambung Encik Fuda.
HLB Jumpstart, yang dilancarkan pada bulan September 2018, menyokong perusahaan sosial di Malaysia yang meninggalkan kesan sosial yang positif dengan tujuan membina perniagaan yang berdaya tahan melalui lima tonggaknya, iaitu Pengetahuan Kewangan, Alat Dan Pendigitan, Penjenamaan Dan Pemasaran, Pemerdagangan dan Kesukarelawanan. Setahun selepas ditubuhkan, HLB Jumpstart menerima pengiktirafan semasa majlis Anugerah CSR Malaysia 2019 yang berlangsung baru-baru ini atas sokongannya yang padu terhadap ekosistem perusahaan sosial tempatan.
Encik Zalman Zainal, Ketua Pegawai Pemasaran Dan Komunikasi Hong Leong Bank, berkata, “Salah satu cabaran terbesar yang dihadapi oleh perusahaan sosial ialah memastikan perniagaan mereka berdaya maju sambil menunaikan matlamat sosial yang sedang diperjuangkan. Dalam hal ini, kami dapat menyediakan penyelesaian yang berkenaan serta peluang memulakan perniagaan mereka dan membantu mereka berkembang secara organik. Melalui HLB Jumpstart, perusahaan sosial dapat memanfaatkan kepakaran dan kepintaran keusahawanan, rangkaian perniagaan yang luas dan pelantar digital yang ada pada Bank kami.”
Sebelum Coffee For Good, Bank ini berperanan memajukan SURI, iaitu sebuah perusahaan sosial yang mengitar naik denim dan telah memenangi anugerah. SURI menyediakan kemahiran dan kebebasan kewangan untuk ibu tunggal yang serba kekurangan. HLB juga pernah menyokong Green Hero, yang diasaskan oleh sekumpulan pemuda aktivis alam sekitar yang bertumpu pada usaha membasmi pembaziran makanan di seluruh Malaysia.
Puan Faridah berharap bahawa kredibiliti yang diberikan oleh HLB dan kesedaran orang ramai yang meningkat terhadap program Coffee For Good mereka akan menggalakkan golongan belia agar merebut potensi pekerjaan ini. Beliau berkata, “Kami berterima kasih kepada Hong Leong Bank atas peluang menggunakan khazanah kepakaran perniagaan dan pemasaran milik Bank ini. Kami akan memanfaatkan rangkaian untuk melariskan jualan dan mengambil penyelesaian digital pintar yang ditawarkan oleh HLB untuk meninggikan tahap kecekapan, khususnya membenarkan kami menggunakan lokasi-lokasi strategik di bangunan pejabat mereka untuk menjalankan perniagaan kopi kami secara percuma.”
“Kami harap lebih banyak badan korporat, pihak pengurusan bangunan, malah sesiapa sahaja yang ingin meluaskan aktiviti CSR mereka, boleh menyokong Coffee For Good dengan cara memberi kami ruang, misalnya lobi bangunan, untuk mendirikan gerai kafe kami dengan tujuan melatih golongan belia ini, sama ada secara jangka pendek, sederhana panjang atau panjang,” Puan Faridah menambah.
HLB Jumpstart akan terus menyokong dan membimbing perusahaan sosial sebagai sebahagian daripada usaha Bank ini ke arah membina komuniti yang cergas. Perusahaan Sosial yang mahukan sokongan untuk meneruskan perjuangan dan perniagaan mereka boleh mengirimkan e-mel ke capr@hlbb.hongleong.com.my atau pergi ke https://www.hlb.com.my/en/personal-banking/about-us/csr.html
Media Contact
Group Corporate Affairs & Public Relations
Hong Leong Bank Berhad
DID: 03-20808888 ext 3281
Email: capr@hongleong.com.my