Hong Leong Bank Berazam Meningkatkan Inovasi, Startup Fintech Dijemput Untuk Menyertai HLB Launchpad 2018
- Startup yang sedang mencari peluang untuk meningkatkan penawaran produk serta perkhidmatan mereka dalam industri perkhidmatan kewangan kini boleh memohon untuk menyertai siri kedua HLB LaunchPad yang dibuka hingga 17 Ogos 2018
- HLB LaunchPad 2018:ACTIVATE dibuka untuk start-up fintech serta teknologi tempatan dan yang berpengkalan di ASEAN
Kuala Lumpur, 17 Julai 2018
Hong Leong Bank Berhad (HLB) kembali lagi dengan program teknologi kewangan (fintech) dan syarikat permulaan (startup) anjurannya untuk tahun yang kedua ekoran kejayaan pelancaran sulung HLB LaunchPad pada tahun lalu. Sambutan yang memberangsangkan dari kalangan para peserta dan rakan kongsi telah mendorong HLB untuk mengembangkan program berkenaan menjadi sebuah platform yang lebih besar, bukan sekadar untuk kumpulan sasarnya yang asal iaitu startup fintech, tetapi turut dibuka kepada para belia, syarikat Siri A serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menjelang hujung tahun ini.
Bagi memenuhi matlamat tersebut, HLB telah melancarkan dan membuka pendaftaran HLB LaunchPad 2018: ACTIVATE untuk startup yang sedang mencari peluang untuk menceburkan diri ke dalam industri perkhidmatan kewangan. Permohonan dibuka mulai sekarang hingga 17 Ogos 2018. Startup fintech serta teknologi tempatan dan yang berpengkalan di ASEAN kini dialu-alukan untuk menyertai HLB LaunchPad 2018: ACTIVATE, sejajar dengan wawasan HLB untuk menjadi sebuah organisasi perkhidmatan kewangan ASEAN yang sangat digital dan berinovasi tinggi.
HLB LaunchPad merupakan sebuah program mentor yang dibangunkan bagi membimbing startup berasaskan teknologi dalam usaha mendefinisikan semula industri perkhidmatan kewangan. Ia adalah perkongsian awam-swasta pertama di Malaysia antara HLB, Cradle Fund Sdn Bhd (CFSB), Malaysian Business Angel Network (MBAN) dan ASEAN Angels Alliance. Program berkenaan memberi tumpuan khusus kepada usaha untuk mentransformasikan perkhidmatan kewangan di dalam tiga bahagian utama: Memudahkan Perbankan Hari Ini, Pendigitalan Urusan dan Pengalaman Pelanggan; dan Mendefinisikan Semula Perbankan di Masa Depan. Ia menyasarkan untuk bekerjasama dengan startup yang berupaya merungkai permasalahan perbankan atau menyediakan penyelesaian “out of the box” yang mampu mengubah cara urusan perbankan dijalankan. Startup yang terpilih berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM100,000.00, menerima sumber maklumat penting yang berkenaan serta bimbingan daripada pasukan pemimpin kanan HLB dan mendapat akses kepada jaringan Hong Leong Group di Malaysia serta di rantau ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata, “Industri kewangan dan perbankan bukan sahaja perlu bertindak pantas dan menyesuaikan diri bagi memenuhi keperluan digital para pelanggan yang semakin meningkat, tetapi kami juga perlu bersedia untuk menghadapi masa depan serta mempunyai pemikiran yang berinovatif mengatasi yang lain, sesuai dengan perubahan lanskap sektor perbankan dan perkhidmatan kesan daripada perkembangan pesat inovasi teknologi dan digital. HLB percaya bahawa menerusi usaha memupuk minda terbaik dan bekerjasama dengan rakan kongsi yang berkongsi wawasan yang sama, kami berupaya untuk melaksanakan perubahan terhadap organisasi kami dengan lebih cepat, daripada cara kami bekerja, cara kami memperkasakan komuniti serta rakan perniagaan kami dan yang paling penting sekali, cara kami memberikan perkhidmatan dan berinteraksi dengan pelanggan kami.”
Apa yang menarik berkaitan program ini ialah interaksi secara langsung serta bimbingan daripada pasukan Pengurusan Kanan HLB. Para finalis berpeluang untuk menimba sendiri ilmu pengetahuan, pengalaman serta kepakaran daripada individu-individu penting yang bertanggungjawab memacu pembangunan produk, perniagaan serta digital. Ianya telah banyak membantu finalis startup tahun lepas dalam usaha mereka untuk meningkatkan lagi kesesuaian pasaran produk melalui pengesahan pasaran, di mana sebahagian daripada mereka berjaya menjalinkan hubungan komersil dengan HLB.
Pada 2017, program berkenaan mendapat sambutan hangat dari kalangan para pemohon, dan daripada 18 startup yang disenarai pendek untuk membuat pembentangan, lima berjaya ke peringkat akhir iaitu SalesCandy, Kakitangan.com, PropSocial, CapitalBay and Blinkware Technology. Kelima-lima startup tersebut kemudiannya berjaya menyempurnakan program bimbingan intensif selama 3 bulan dan akhirnya SalesCandy, sebuah platform Pengurusan Perhubungan Pelanggan (CRM) yang berasaskan tindakan, telah muncul sebagai juara.
Kesemua finalis LaunchPad itu kini masih kekal menjalinkan hubungan komersil bersama-sama HLB dengan beberapa pencapaian penting:-
- Program berkenaan telah membantu SalesCandy mengesahkan kesesuaian pasaran produk mereka dan keputusan positif yang dicapai dalam projek pertama telah membantu mereka untuk berkembang ke segenap rantau dalam tempoh yang singkat selepas menyertai program itu.
- Pada Mei 2018, Capital Bay dan HLB telah menerima anugerah “Best Financial Supply Chain Management” daripada The Asian Banker - The Bankers’ Choice Awards 2018 di Hong Kong.
- Pada Jun 2018, HLB telah melancarkan Set Penyelesaian Perniagaan Digital untuk PKS, yang didatangkan dengan perkakasan daripada Kakitangan dan Biztory.
Startup fintech yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program berkenaan di www.hlb.com.my/hlblaunchpad/.
Media Contact
Group Corporate Affairs & Public Relations
Hong Leong Bank Berhad
DID: 03-2081 8888 ext 61916
Email: capr@hongleong.com.my