Hong Leong Bank Memudahkan Lagi Urusan Perbankan Dengan Pembukaan Cawangan Digital Yang Pertama Di Pulau Pinang
Hong Leong Bank terus merintis perubahan industri perbankan di Wilayah Utara dengan menyediakan perkhidmatan digital bersifat intuitif yang mengutamakan pengalaman pelanggan

Dari Kiri:
Ketua Kanan Daerah – Pulau Pinang Hong Leong Bank, Sally Che; Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Islamic Bank, Jasani Abdullah; Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Bank, Domenic Fuda; Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan Pengarah Urusan Perkhidmatan Kewangan Peribadi Hong Leong Bank, Charles Sik.
Penang, 2 Ogos 2018
Hong Leong Bank Berhad (HLB) hari ini merasmikan Cawangan Digital miliknya yang pertama di Pulau Pinang yang terletak di Burmah House, Pulau Tikus. Pembukaan cawangan itu menandakan era baru pengalaman perbankan untuk para pelanggan di negeri berkenaan yang menawarkan perkhidmatan perbankan konvensional serta Islam, dan perbankan Priority. Majlis perasmian cawangan berkenaan turut diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda.
Pengenalan cawangan berkonsepkan digital di Pulau Pinang itu selari dengan wawasan HLB untuk muncul sebagai penyedia perkhidmatan kewangan yang serba digital serta berinovatif. Ia juga sejajar dengan etosnya yang berteraskan digital, mengutamakan pengalaman pelanggan bagi memenuhi permintaan serta jangkaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan, produk dan penyelesaian berasaskan digital.
Menurut Domenic Fuda, “Dibina berasaskan teknologi digital, cawangan berkenaan direka bentuk dengan memberi tumpuan kepada usaha untuk memenuhi setiap permintaan pelanggan. Corak perkhidmatan kami yang berpaksikan pengguna dapat dilihat melalui bagaimana kami menyambut para pelanggan apabila mereka memasuki cawangan berkenaan hinggalah bagaimana kami memproses dan memenuhi permintaan serta keperluan mereka. Dengan ini, kami dapat mempercepatkan masa yang diambil dengan ketara untuk mereka mendapatkan khidmat kami serta mewujudkan kepuasan pengalaman apabila mereka berurusan di cawangan berkenaan.”
Sebagai cawangan digital yang pertama di Pulau Pinang, setiap kakitangan bank berkenaan dilengkapi dengan tablet bagi memudahkan urusan perkhidmatan yang diminta oleh para pelanggan. Mereka tidak lagi perlu mengisi apa-apa borang dan menunggu ia diproses oleh pegawai bank. Antara ciri-ciri unik yang lain ialah tiada lagi kaunter yang ditetapkan untuk sesuatu fungsi, sebaliknya ia digantikan dengan pod-pod di mana kakitangan dapat membantu pelanggan untuk melaksanakan semua jenis transaksi yang ditawarkan oleh bank. Keseluruhan proses berkenaan diatur bagi meningkatkan kecekapan serta mewujudkan pengalaman perbankan yang lancar dengan bantuan teknologi dan pengupayaan menerusi penggunaan tablet.
Fuda menekankan bahawa peranan kakitangan bank serta perbankan cawangan akan sentiasa berevolusi sesuai dengan kemajuan perbankan digital. “Di masa depan, kami merancang untuk mengintegrasikan lebih banyak lagi kemudahan perbankan dalam talian menerusi internet dan peranti mudah alih seperti mana yang ditawarkan di cawangan digital untuk produk serta perkhidmatan yang lebih kompleks. Sementara urusan perbankan biasa boleh dilaksanakan dalam talian tanpa mengira masa, 24 jam x 7 hari seminggu, kakitangan di cawangan akan menambah penawaran digital berkenaan dengan perkhidmatan lain seperti memohon pembiayaan rumah atau kenderaan, berbincang mengenai pelaburan atau simpanan untuk membeli sesuatu yang besar atau persaraan. Pemilik perniagaan boleh berbincang dengan pengurus bank bahagian Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) mengenai pembiayaan modal kerja, pengembangan kapasiti pengeluaran atau pembelian premis daripada tempat di mana mereka beroperasi. Semua urusan berkenaan boleh dilakukan di sini di cawangan Burmah House,” tambah beliau lagi.
Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow mengalu-alukan inovasi yang dilaksanakan oleh bank berkenaan, katanya, “Tujuan utama penggunaan teknologi ialah memudahkan hidup kita dan menjadikannya lebih baik. Cawangan digital Hong Leong Bank Burmah House merupakan contoh terbaik bagaimana teknologi digital dapat digunakan untuk membantu masyarakat. Kerajaan negeri Pulau Pinang memuji usaha bank untuk mengubah cara perbankan dilakukan dan menyusun semula kakitangannya agar dapat menjalankan tugas yang lebih mencabar. Kami sangat berbangga kerana dapat menyaksikan pembukaan bank digital pertama di Pulau Pinang dan berharap agar lebih banyak lagi cawangan seumpamanya diperkenalkan.”
HLB sedang mengorak langkah kehadapan dengan merangka peranan strategik yang boleh dimainkan olehnya di dalam lanskap ekonomi digital negara yang penuh dengan persaingan terutamanya dari kalangan pemain teknologi kewangan (FinTech). HLB kini sedang menerokai teknologi-teknologi terkini seperti Augmented Reality (AR), Robotik, BlockChain, Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) serta melancarkan Makmal Pengalaman Pelanggan yang dapat membantu menjalankan eksperimen dan menghasilkan prototaip bagi sesuatu inovasi serta teknologi baru melalui kerjasama dengan pelanggan dan penyedia perkhidmatan pihak ketiga. Bank berkenaan turut menyumbang kepada masyarakat dengan menyokong secara aktif pembangunan startup generasi baru dari pelbagai industri dan memainkan peranannya dalam usaha pembangunan keusahawanan negara menerusi platform Launchpad, salah satu inisiatif HLB yang sangat berjaya.
Sempena pelancaran cawangan HLB Burmah House yang baharu itu, para pelanggan yang hadir ke acara berkenaan telah ditawarkan dengan tawaran eksklusif untuk sehari sahaja ke atas produk-produk HLB seperti simpanan tetap, kad kredit dan pembiayaan peribadi. Terdapat pelbagai aktiviti berasaskan digital serta promosi yang menarik turut diadakan hasil kerjasama dengan Switch, salah sebuah butik Apple yang terbesar di Malaysia dan Garena, ekosistem permainan video dalam talian terbesar di Asia Tenggara serta Taiwan.
Media Contact
Group Corporate Affairs & Public Relations
Hong Leong Bank Berhad
DID: 03-2081 8888 ext 61916
Email: capr@hongleong.com.my