HLB dan HLISB Akan Menyumbangkan RM150,000 untuk Rumah Anak-anak Yatim dan Penjagaan Orang Tua semasa Ramadan dan Raya
Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank Akan Menyumbangkan RM150,000 bagi Menyediakan Makanan untuk Rumah Anak-anak Yatim dan Penjagaan Orang Tua semasa Ramadan dan Raya
HLB membantu memudahkan rumah-rumah kebajikan berkenaan menjalani ibadah puasa dan mengajak rakyat Malaysia agar turut sama membantu mereka yang memerlukan

Kuala Lumpur, 20 Mei 2020
Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank (‘HLB’ atau ‘Bank’) akan menyumbangkan RM150,000 untuk penyediaan makanan buka puasa dan sambutan Raya kepada 10 rumah anak-anak yatim dan penjagaan orang tua terpilih di seluruh negara menerusi kempen ‘Jauh di Mata, Dekat di Hati’ anjurannya. Kempen ini adalah salah satu daripada usaha Bank untuk memastikan golongan kurang bernasib baik mendapat pembelaan yang secukupnya, supaya mereka dapat menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan yang mulia dan menyambut Raya semasa tempoh yang sukar ini.
Salah satu daripada cabaran yang dihadapi oleh rumah anak-anak yatim dan penjagaan orang tua tahun ini ialah kekurangan sumbangan serta bantuan sosial akibat daripada penularan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (“PKPB”). Rumah-rumah ini bergantung kepada budi baik masyarakat dan sektor korporat bagi menguruskan serta menyediakan makanan untuk para penghuninya dan menyedari hakikat itu, pihak Bank telah tampil bagi membantu 10 rumah-rumah berkenaan memastikan kebajikan para penghuninya terus terbela dan tidak dilupakan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Bank, Domenic Fuda berkata, “Sejajar dengan komitmen HLB ke arah memupuk nilai tanggungjawab sosial, kami mengakui dan memahami kepentingan untuk membantu golongan kurang bernasib baik ini menghadapi ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19. Oleh itu, kami berjanji untuk menyediakan makanan dan bantuan kewangan kepada rumah anak-anak yatim dan penjagaan orang tua di negara ini bagi membantu meringankan beban kewangan mereka pada bulan yang berikutnya.”
HLB telah mengenal pasti enam (6) rumah anak-anak yatim dan empat (4) rumah penjagaan orang tua yang menempatkan 475 kanak-kanak serta warga emas di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Johor dan Sarawak sebagai penerima sumbangan kempen ini. Di sepanjang tempoh Ramadan dan sambutan Raya ini, HLB akan menyampaikan sumbangan berjumlah RM150,000 yang berupa baucar bernilai RM35,000 bagi membolehkan rumah-rumah berkenaan membeli makanan untuk kanak-kanak dan warga emas dengan mudah dan selamat menerusi perkhidmatan e-penghantaran seperti foodpanda. Baki RM115,000 akan disampaikan dalam bentuk tunai bagi membantu meringankan beban rumah-rumah berkenaan, sumbangan tersebut boleh digunakan untuk membeli makanan dan barangan penjagaan kebersihan serta barangan keperluan untuk Ramadan dan Raya semasa tempoh pandemik ini.
“Kehadiran Ramadan memberi peluang kepada kita bukan sahaja untuk menilai semula keadaan semasa tetapi juga tampil membantu mereka yang memerlukan. Sebagai rakyat Malaysia, tiada cara yang lebih baik untuk membantu sesama kita selain daripada membawakan senyuman ke wajah-wajah mereka yang kurang bernasib baik ini menerusi amalan-amalan mulia sebegini. Ia akhirnya dapat membina dan mengukuhkan lagi nilai teras kita sebagai sebuah masyarakat yang tidak akan membiarkan walau seorang pun terabai. Itulah semangat sebenar rakyat Malaysia yang perlu kita pupuk terutama sekali dalam tempoh yang serba mencabar ini,” kata Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Hong Leong Bank, Zalman Zainal.
Susulan pelanjutan tempoh PKPB baru-baru ini, golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan ini semakin terhimpit akibat kekurangan derma serta bantuan. Kempen ‘Jauh di Mata, Dekat di Hati’ ini membuka jalan untuk semua rakyat Malaysia agar dapat sama-sama berganding bahu membantu mereka yang memerlukan, kerana walau sekecil mana pun sumbangan yang dihulurkan ia tetap memberi makna yang amat besar. Sambil kita melangkah ke dalam era ‘normal baru’, HLB mengajak seluruh rakyat agar sama-sama membawakan keceriaan ke dalam kehidupan golongan yang kurang bernasib baik ini supaya kita dapat meraikan semangat Ramadan dan Raya sambil membangunkan negara dengan melakukan amalan-amalan mulia seumpama ini.
10 penerima sumbangan berkenaan ialah:
- Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Dhuaga’ (Lilbaanat) Siti Aminah, Kelantan
- Pusat Jagaan Permata Kasih, Pulau Pinang
- Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Warga Miskin Parit, Perak
- Rumah Bakti Nur Ain Bangi, Selangor
- Pusat Jagaan Nur Hassanah, Selangor
- Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Selangor
- Pusat Jagaan Al-Fikrah, Selangor
- Pusat Rawatan & Jagaan Al-Ikhlas, Selangor
- Rumat Bakti Nur Syaheera, Kuala Lumpur
- Pusat Jagaan Nur Murni, Sarawak
Sebagai tambahan, ekoran pelanjutan tempoh PKPB, para pelanggan boleh menunaikan tuntutan agama dan membayar zakat serta zakat fitrah dengan selamat dan mudah dari rumah mereka melalui Perbankan Dalam Talian Hong Leong Connect dan Aplikasi Connect, satu kaedah selamat untuk membayar zakat yang mengutamakan kemudahan pengguna. Bank pada ketika ini turut menjalankan kempen ‘Skim Kafala Muzakki’, sebuah inisiatif oleh Pusat Pungutan Zakat (“PPZ”) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (“MAIWP”), bagi membantu meringankan beban serta kos-kos berkaitan yang ditanggung oleh golongan asnaf setelah mereka kehilangan ahli keluarga yang membayar zakat.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, sila kunjungi www.zakat.com.my/kafalah.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen Raya HLB dan bagi menyalurkan bantuan kepada rumah kebajikan yang dinyatakan, sila layari www.hlb.com.my/raya.
Untuk menonton video ‘Jauh di Mata, Dekat di Hati’, sila kunjungi laman Facebook HLB di https://www.facebook.com/HLBMalaysia/posts/1426838480852727 ataupun di Instagram https://www.instagram.com/p/CAWw-DuJTpk/.