Pelan Bantuan Pembayaran HLB: Menyokong Inisiatif Bantuan Lanjutan COVID-19 oleh Kerajaan
Pelan Bantuan Pembayaran Pasca Moratorium Hong Leong Bank;
Menyokong Inisiatif Bantuan Lanjutan COVID-19 oleh Kerajaan
Kuala Lumpur, 30 Julai 2020 – Sejajar dengan pengumuman inisiatif bantuan lanjutan COVID-19 oleh kerajaan, Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank (“HLB” atau Bank) akan menawarkan bantuan bersasar tambahan kepada pelanggan yang menghadapi kesukaran untuk memulakan kembali bayaran sedia ada menjelang Oktober 2020, melalui Pelan Bantuan Pembayaran. Pelan ini menggariskan bantuan pembayaran bersasar kepada pelanggan individu dan PKS berdasarkan situasi masing-masing. HLB/HLISB menggalakkan pelanggan untuk menghubungi Bank sekarang bagi merancang langkah pemulihan dari awal, dan jauh sebelum 1hb Oktober, 2020.
Pelan bantuan HLB/HLISB termasuk penangguhan pembayaran selama 3 bulan, berdasarkan terma moratorium semasa, kepada peminjam yang kehilangan pekerjaan ketika pandemik COVID-19. Bagi pelanggan yang mengalami pengurangan pendapatan disebabkan pandemik, Bank akan melanjutkan pengurangan jumlah bayaran selaras kepada bayaran pinjaman/pembiayaan untuk tempoh 6 bulan, bermula 1hb Oktober, 2020. Bank akan menilai semula kedudukan kewangan pelanggan sebelum tamat tempoh 6 bulan tersebut, bagi menentukan bantuan tambahan untuk mereka yang memerlukan.
Domenic Fuda, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB menegaskan bahawa Bank bersedia untuk membantu pelanggan dalam perjalanan menuju pemulihan, dan adalah amat penting yang pelanggan menghubungi Bank sekarang supaya kita boleh, seiring sejalan, mengenalpasti bantuan yang diperlukan dan seterusnya, menetapkan bantuan jauh sebelum 1hb Oktober 2020.
Tambah beliau, penangguhan pembayaran balik pinjaman kepada seluruh industri adalah penting untuk mengurangkan bebanan rakyat Malaysia semasa tempoh PKP dan PKPP, terutamanya mereka yang kehilangan pekerjaan atau mengalami penyusutan pendapatan semasa tempoh ini. Walaupun negara telah memasuki fasa pemulihan dan kebanyakan urusan kembali berjalan seperti biasa, tidak semua sektor dalam masyarakat telah pulih. Aliran tunai masih menjadi kebimbangan kepada beberapa kelompok komuniti perniagaan dan isi rumah.
"Kami didorong oleh pemulihan memuaskan yang kami lihat dalam aktiviti perniagaan sejak PKPP, dari kalangan pelanggan korporat dan PKS kami, serta pelanggan yang telah kembali bekerja. Kami juga mendapati bahawa pelanggan yang semakin pulih dengan kedudukan kewangan mereka selepas tempoh PKP, telah memulakan pembayaran balik pinjaman mereka lebih awal daripada bulan Oktober 2020. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perniagaan dan isi rumah yang masih berdepan dengan masalah aliran tunai dan pelanggan dari kalangan inilah yang memerlukan perhatian dan bantuan kami untuk menguruskan kewangan mereka.
Dengan itu, kami telah mula menghubungi mereka yang kami anggap mungkin memerlukan bantuan lanjut supaya kami dapat mengenal pasti keadaan mereka. Ini akan membolehkan kami memberi bantuan secara bersasar mengikut keperluan pelanggan masing-masing bagi meringankan beban kewangan mereka. Kami juga telah memperkemaskan polisi dan proses bagi memastikan kami dapat memberikan kemudahan bantuan yang diperlukan dengan mudah dan lancar,” kata Domenic.
Bantuan dari HLB dalam membantu pelanggan melalui tempoh mencabar ini adalah lebih daripada Penangguhan Pembayaran Pinjaman/Pembiayaan selama 6 bulan. Bank juga mengorak langkah seawal bulan Februari 2020 dengan memperkenalkan pelan penstrukturan pembayaran untuk pelanggan individu, PKS dan Korporat keluar daripada kemelut kewangan berikutan pandemik COVID-19. Tempoh penangguhan pembayaran kepada semua industri selama 6 bulan, bermula 1 April 2020, adalah lanjutan kepada program terdahulu Bank. Sejak bermulanya penangguhan pembayaran pinjaman/pembiayaan, kami juga telah berurusan dengan pelanggan yang tidak tertakluk di bawah program penangguhan pembayaran, termasuk pelanggan kad kredit, pelanggan dengan tunggakan 90 hari atau lebih pada 31 Mac 2020, dan pelanggan korporat, untuk menghulurkan bantuan sewajarnya seperti yang diperlukan.
Selain daripada membantu menguruskan kewajipan pembayaran pinjaman/pembiayaan, HLB juga fokus membantu PKS untuk pulih dan bangkit semula dengan lebih berdaya maju. Bank telah memberikan kredit tambahan melalui Kemudahan Bantuan Khas (“SRF”) Bank Negara Malaysia (“BNM”) kepada lebih daripada 2,200 PKS, di antara bulan Mac hingga Mei 2020. Pada bulan Jun, HLB melancarkan Skim Pembiayaan PKS PENJANA untuk membantu pelanggan PKS kembali pulih di norma baharu ini. Bank juga telah memberikan kredit kepada PKS yang ingin mendigitalisasi dan mengautomasi perniagaan mereka melalui Kemudahan Automasi dan Digitalisasi (ADF) BNM, manakala mereka di dalam industri pertanian dan makanan disediakan pinjaman / pembiayaan melalui Kemudahan Agro Makanan BNM.
"Kesemua ini adalah antara inisiatif tambahan, yang telah dan akan terus menampung aktiviti pinjaman / pembiayaan biasa kami, yang telah beroperasi seperti biasa semasa tempoh PKP dan PKPP. Kami menggalakkan pelanggan untuk menghubungi kami sekarang sebelum akhir bulan September, bagi membincangkan bantuan yang diperlukan,” tambah Domenic.
HLB turut mengambil inisiatif tambahan untuk menganjurkan hari terbuka yang dikenali sebagai ‘Hari Khidmat Nasihat & Bantuan’ (Advisory & Assistance Day) pada dua Sabtu berturut-turut (8hb dan 15hb Ogos) dari 9:30AM – 1:00 PM di cawangan tertentu, untuk membolehkan pelanggan mengajukan pertanyaan kepada Bank berkaitan Pelan Bantuan Pembayaran, cara Bank boleh membantu pasca tempoh penangguhan pembayaran serta nasihat kewangan dan pelaburan.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Pelan Bantuan Pembayaran HLB, sila lawati: www.hlb.com.my/relief