Hong Leong Bank - Robot Penyambut Tetamu
Kuala Lumpur, 3 Februari 2017
Hong Leong Bank Berhad ( "HLB" atau "Bank") hari ini memperkenalkan robot pelatih perintis yang bertugas sebagai penyambut pelanggan mereka di Cawangan Utama Kuala Lumpur di Wisma Hong Leong. Robot penyambut pelanggan ini adalah sebahagian daripada inisiatif visi ‘Digital pada Terasnya’ dan merupakan pembantu pelanggan pertama seumpamanya di cawangan bank dalam industri perbankan tempatan.
Dibawakan oleh teknologi pengkomputeran kognitif IBM Watson, robot ini mampu untuk berinteraksi, mengenal pasti dan menyesuaikan permintaan pelanggan dengan pelbagai perkhidmatan kewangan yang ditawarkan oleh bank seperti mengendalikan pertanyaan asas dan mengarahkan pelanggan mengikut keperluan mereka.
"Komitmen Hong Leong Bank untuk meningkatkan pengalaman pelanggan kami dengan memanfaatkan teknologi masih menjadi teras kepada visi kami. Robot penyambut pelanggan perintis kami mempunyai dua tujuan khusus - untuk mengurangkan keperluan sumber di cawangan-cawangan dengan berinteraksi dengan pelanggan dalam beberapa minit pertama mereka seperti mengarahkan aliran pelanggan dan pada masa yang sama, kakitangan
kami boleh melayani keperluan pelanggan yang lebih kompleks. Manfaat serampang dua mata ini pastinya akan membantu dalam meningkatkan produktiviti keseluruhan pasukan cawangan kami," kata Domenic Fuda, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB.
HLB telah mencuba beberapa inisiatif digital yang disasarkan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan pelanggan dan produktiviti kakitangan. Banyak yang berada di peringkat ujian penerimaan pengguna dan akan dilaksanakan sepanjang tahun ini. Ikuti HLB dan aktiviti kami di @ HLBMalaysia @ nao_hlb.
Hong Leong Bank Berhad
Hong Leong Bank Berhad adalah salah satu organisasi perkhidmatan kewangan terkemuka di Malaysia. Dengan warisan lebih 100 tahun, ia menyediakan perkhidmatan kewangan yang komprehensif meliputi perbankan pengguna, perbankan perniagaan dan pembiayaan perdagangan, perbendaharaan, perbankan cawangan dan transaksi, pengurusan kekayaan, perbankan persendirian dan perkhidmatan kewangan Islam. Penggabungannya dengan Kumpulan EON Bank pada tahun 2011 telah mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai francais perbankan teras dengan rangkaian pengedaran yang luas dengan lebih 300 cawangan di seluruh negara.
Dengan rekod prestasi yang terbukti dalam penciptaan nilai dan jenama yang diiktiraf, Hong Leong Bank juga telah memperluaskan kehadirannya di rantau ini, dengan cawangan di Singapura dan Hong Kong dan anak-anak syarikat milik penuhnya di Vietnam dan Kemboja. Di China, Bank mempunyai pegangan saham 20% di Bank of Chengdu Co., Ltd., Sichuan dan usaha sama kewangan pengguna.
Hong Leong Bank adalah subsidiari Hong Leong Financial Group Berhad, cabang perkhidmatan kewangan Hong Leong Group. Selain perbankan, Hong Leong Financial Group terlibat dalam penyediaan insurans dan takaful, serta perbankan pelaburan, unit amanah, pengurusan dana dan perkhidmatan pembrokeran saham.
Hubungan Media
Hal Ehwal Korporat & Perhubungan Awam Kumpulan
Hong Leong Bank Berhad
Tel: 03-20808888 ext 3281
Emel: capr@hongleong.com.my