Pelanggan Hong Leong Bank Kini Boleh Imbas dan Bayar di China dengan HLB QR Pay
Pelanggan Hong Leong Bank Kini Boleh Imbas dan Bayar di
China dengan HLB QR Pay
HLB membolehkan pelanggan merancang perbelanjaan dengan lebih yakin menerusi keupayaan menetapkan kadar pertukaran yang baik dan membuat pembayaran QR secara terus di lebih 120 juta peniaga di China
Kiri: Andrew Jong, Pengarah Urusan Perkhidmatan Kewangan Peribadi HLB
Kanan: Pelanggan HLB kini boleh imbas & bayar di lebih daripada 120 juta peniaga di China yang menerima kod QR UPI dan Weixin Pay
KUALA LUMPUR, 22 OKTOBER 2026 - Pelanggan Hong Leong Bank (“HLB”) kini boleh membuat pembayaran QR secara terus di China menggunakan HLB QR Pay, yang diperkasakan melalui kerjasama strategik dengan UnionPay International (“UPI”).
HLB QR Pay boleh digunakan di lebih 120 juta peniaga di China yang menerima pembayaran melalui kod QR UPI dan Weixin Pay, merangkumi peruncit utama, restoran, perniagaan kecil dan peniaga individu. Pelanggan boleh mengimbas kod QR dan membuat pembayaran secara terus melalui aplikasi perbankan mudah alih HLB Connect.
Selain mengimbas kod QR yang dipaparkan oleh peniaga (“merchant presented mode”), pelanggan juga boleh memaparkan kod QR dalam aplikasi HLB Connect untuk diimbas oleh peniaga (“consumer presented mode”). Kedua-dua kaedah ini digunakan secara meluas dan saling bergantian di China. Ciri ini juga membolehkan pelanggan HLB membuat pembayaran secara terus daripada akaun HLB mereka, tanpa perlu menggunakan aplikasi pihak ketiga atau menambah nilai e-dompet.
Yang lebih penting, HLB bukan sekadar memberikan kawalan terhadap perbelanjaan, tetapi juga terhadap penukaran mata wang. Melalui ciri mata wang pelbagai (“Multi-Currency Feature” atau “MCF”) dalam Akaun Pay&Save, pelanggan boleh menukar Ringgit Malaysia (“MYR”) kepada Renminbi luar pesisir (“CNH”) pada kadar pertukaran yang menarik sebelum perjalanan, menyimpan dana tersebut dan menggunakannya untuk membuat pembayaran secara terus melalui HLB QR Pay.
Berbeza daripada platform dan e-dompet yang menukar mata wang berdasarkan kadar pertukaran semasa bagi setiap transaksi, MCF membolehkan pelanggan mengunci kadar pertukaran yang menarik lebih awal dan membuat transaksi secara terus menggunakan CNH. Ini membantu pelancong merancang perbelanjaan dengan lebih yakin tanpa perlu sentiasa memantau perubahan kadar pertukaran harian.
Pembayaran akan ditolak terus daripada baki CNH tanpa sebarang yuran transaksi atau caj perkhidmatan. Sekiranya baki CNH tidak mencukupi, pembayaran akan ditolak secara automatik daripada akaun MYR utama, sekali gus memberikan pelanggan lebih fleksibiliti dan kawalan terhadap pembayaran mereka di China.
Andrew Jong, Pengarah Urusan Perkhidmatan Kewangan Peribadi HLB berkata, “Di China, pembayaran QR merupakan sebahagian penting daripada kehidupan harian dan aktiviti perdagangan. Kaedah pembayaran ini digunakan secara meluas, daripada pusat beli-belah dan restoran hingga ke gerai makanan jalanan serta peniaga di pasar luar bandar. Memandangkan China merupakan destinasi utama bagi pelancong, ahli perniagaan, golongan profesional dan pelajar dari Malaysia, kami memahami kepentingan menyediakan pengalaman pembayaran QR yang bukan sahaja mudah dan tersedia secara meluas, tetapi juga selamat dengan perlindungan keselamatan bertaraf perbankan, boleh dipercayai dan mesra pengguna.
“Dengan menggabungkan ciri mata wang pelbagai dengan HLB QR Pay, kerjasama kami dengan UPI membawa kami selangkah lebih dekat kepada pengalaman pembayaran global yang lebih lancar dan saling berhubung. Kami mahu membantu pelanggan membuat persediaan yang lebih baik sebelum memulakan perjalanan dan berasa lebih tenang apabila tiba di destinasi.”
Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi www.hlb.com.my/UnionPayQR