Hong Leong Islamic Bank Lancar ‘BizHalal’ Untuk Membantu PKS dalam Perjalanan Perniagaan Halal
Hong Leong Islamic Bank Lancar ‘BizHalal’ Untuk Membantu PKS dalam Perjalanan Perniagaan Halal
HLISB bersedia menawarkan kemudahan pembiayaan patuh Syariah serta bimbingan dan sokongan untuk mereka yang ingin menceburi ekonomi Halal
Dafinah Ahmed Hilmi, Ketua Pegawai Eksekutif HLISB dan Datuk Dr. Md Hamzah bin Md Kassim, Pengerusi HLISB (3 & 4 dari kanan)
serta Hairol Ariffein Sahari, Ketua Pegawai Eksekutif HDC dan Khairul Azwan Harun, Pengerusi HDC (4 & 3 dari kanan) di Majlis Menandatangani MOU antara HLISB dan HDC.
Kuala Lumpur, 12 Mac 2024 – Selaras dengan penekanan kerajaan untuk mengembangkan ekosistem Halal di Malaysia, Hong Leong Islamic Bank (“HLISB” atau “Bank”) telah memperkenalkan BizHalal, penyelesaian perbankan Islam bersepadu yang membantu perniagaan, terutamanya PKS, menceburi ekonomi Halal. Melalui BizHalal, HLISB akan menawarkan pembiayaan patuh Syariah kepada perniagaan-perniagaan, yang dilengkapi dengan nasihat dan bimbingan daripada pakar-pakar industri Halal bank.
Tawaran inovatif dan holistik itu dilancarkan pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (“MOU”) antara HLISB dan Halal Development Corporation (“HDC”), secara rasmi melantik Bank sebagai rakan kongsi HDC dalam mempromosikan dan membangunkan industri Halal tempatan.
Dafinah Ahmed Hilmi, Ketua Pegawai Eksekutif HLISB berkongsi bahawa industri Halal telah dikenal pasti sebagai antara segmen pertumbuhan utama bagi HLISB sejak 2018, dan Bank itu komited untuk merangsang sektor Halal dengan memperjuangkan pertumbuhan PKS Halal tempatan dan memberi jaminan ke arah pemberian pembiayaan halal melalui HDC.
"Kami melihat potensi yang besar dalam industri Halal, dan kami telah menambah pakar-pakar Halal ke dalam pasukan kami pada tahun 2023 dalam usaha mengukuhkan kepakaran kami. Kami juga menyedari bahawa permintaan pembiayaan semakin meningkat di kalangan pelanggan industri Halal. Membangunkan BizHalal sebagai pakej nasihat dan pembiayaan yang inklusif adalah bukti komitmen kami untuk memupuk pertumbuhan dan kejayaan perniagaan, terutamanya PKS, dalam sektor Halal.
Selaras dengan komitmen kami untuk berpusatkan keperluan pelanggan, BizHalal bukan sahaja menyediakan peluang pembiayaan, tetapi juga menawarkan sokongan khidmat nasihat Halal yang direka khusus berasaskan keperluan pelanggan masing-masing. Kami harap agar program ini menjadi pemangkin dalam memupuk ekosistem Halal berkembang maju dan boleh dimanfaatkan oleh perniagaan dan ekonomi negara”.
Menurut analisis HDC, permintaan dalam segmen Halal global telah mencecah hampir USD 3 trilion pada tahun 2020, yang menandakan kepentingan ekonomi Halal dalam pasaran global. Dengan industri Halal Malaysia diunjurkan berkembang sehingga USD 3 trilion dan jangkaan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.1% menjelang 2025 melalui Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), ia juga menekankan keperluan untuk meningkatkan bekalan dan pelaburan ke dalam ruang Halal domestik.
Khairul Azwan Harun, Pengerusi HDC, mengulas “Daripada 10,000 syarikat yang disahkan Halal di Malaysia, hanya sekitar 2,000 adalah pihak pengeksport, dan PKS hanya menyumbang sekitar 10% daripada jumlah nilai eksport Halal. Terdapat jurang besar sebanyak 80% antara permintaan dan penawaran dalam pasaran Halal, yang membuktikan keperluan negara untuk menjalin kolaborasi dengan pemain industri utama seperti HLISB dan mewujudkan pemimpin Halal tempatan yang akan menyuntik idea dan menceburi bidang baharu dalam ekosistem Halal.
Kami juga komited untuk meningkatkan ekonomi dengan memanfaatkan penyelesaian digital seperti Halal Integrated Platform (HIP), platform digital komprehensif yang memastikan pemprosesan yang cekap dan lancar untuk memantau dan mengurus keseluruhan perjalanan permohonan Halal, daripada tahap pendaftaran sehingga kelulusan. Dengan ini, kami berharap dapat memacu kemajuan ekosistem Halal bersepadu dan inklusif Malaysia, secara langsung memperkasakan perusahaan Malaysia untuk menguasai pasaran Halal global yang lebih besar.”
Melalui bimbingan dan nasihat di bawah BizHalal, pelanggan akan mendapat akses kepada pasukan pakar industri Halal khusus Bank yang akan membimbing mereka dalam proses dan keperluan untuk mendapatkan Pensijilan Halal. Sokongan nasihat Halal terdiri daripada tiga segmen utama – iaitu Penilaian Kesediaan, Bantuan Nasihat dan Ekosistem Digital Halal.
BizHalal terbuka kepada pelanggan sedia ada dan baharu yang telah pun disahkan Halal serta mereka yang masih belum mendapat pensijilan Halal dan dianggap "Potensi Halal". Selain itu, pelanggan yang telah menerima apa-apa jua kemudahan pembiayaan perniagaan Bank secara automatik akan layak untuk BizHalal.
Untuk maklumat selanjutnya, sila layari: https://www.hlisb.com.my/en/business-i/hlisb-bizhalal.html